Info Terkini PPD Mersing

September 27, 2009

Sejarah SK Labong


Kampung Labong dihuni oleh 15 keluarga yang asalnya menetap di Kampung Denai dan kampung Sungai Mook, Kuala Rompin , Pahang sejak tahun 1950. Mereka terdiri suku Bangsa Jakun (Orang Ulu) iaitu salah satu suku Melayu Asli ( Melayu Proto ) yang berasal dari Yunan ( Selatan Negeri Cina ) yang berhijrah ke Tanah Melayu sejak 5 000 tahun dahulu.

Sekolah Kebangsaan Labong diwujudkan oleh Jabatan Hal Ehwal Orang Asli pada 1955. Ketika itu sekolah ini diasaskan sebagai sekolah rakyat. Pengasasnya ialah Encik Iman bin Mahaja, seorang anak tempatan. Beliau mendapat pendidikan secara tidak formal ketika dalam tahanan Kerajaan British kerana menyokong perjuangan menuntut kemerdekaan. Bangunan sekolah ketika itu adalah bangunan sementara yang dibina menggunakan kayu-kayan hutan secara gotong-royong oleh penduduk tempatan. Jabatan Hal Ehwal Orang Asli turut membantu dengan memberi elaun kepada Encik Iman bin Mahaja sehingga beliau berhenti untuk bekerja sendiri. Objektif utama penubuhannya adalah untuk membasmi buta huruf di kalangan anak-anak Orang Asli. Kebanyakan murid yang belajar di sini tinggal di kawasan penempatan Kampung Labong dan perkampungan orang Asli di seberang Sungai Endau di negeri Pahang. Perkampungan orang Asli di negeri Pahang yang terlibat adalah Kampung Denai dan Mentelong. Murid Kampung Mentelong menaiki bot mengambil masa 1 jam 30 minit dan masa perjalanan murid Kampung Denai pula cuma 30 minit.

Selepas merdeka, Kementerian Pelajaran membantu sekolah ini di segi tenaga pengajar dan pentadbirannya, Jabatan Hal Ehwal Orang Asli masih membantu di segi bantuan lain kepada murid-murid. Pada tahun 1965, sebuah bangunan sekolah yang kekal dibina bagi menggantikan bangunan yang dibina secara gotong-royong. Ketika itu murid Tahun Satu hingga Tahun 4 belajar di Sekolah Kebangsaan Labong manakala murid Tahun Lima dan Tahun Enam belajar di Sekolah Kebangsaan Pusat Air Tawar, Endau. Pentadbiran Sekolah Kebangsaan Labong juga diletakkan di bawah Kementerian Pelajaran dan Guru Besar Sekolah Kebangsaan Pusat Air Tawar bertanggungjawab mengawasinya. Seorang guru dilantik sebagai penyelia sekolah bagi membantu guru besar mentadbir sekolah di Sekolah Kebangsaan Labong. Pada tahun 1986, sebuah lagi bangunan tambahan dibina bagi menempatkan murid Tahun Lima dan tahun Enam. Kelas-kelas di sekolah ini ketika itu merupakan kelas bercantum.

Pada 1 Januari 1998, Seorang guru besar dilantik meneraju sekolah ini selepas sekian lama diletakkan di bawah pentadbiran Guru Besar Sekolah Kebangsaan Pusat Air Tawar. Encik Hamzah bin Mohamed diberi tanggungjawab mengurus Sekolah Kebangsaan Labong sebagai guru besar yang pertama. Beliau berusaha meningkatkan pencapaian murid sekolah ini di bidang akademik dan kokurikulum sehingga bersara pada 24 September 1999.

Jabatan Pendidikan Johor melantik Encik Abdullah bin Haji Mohamad sebagi guru besar sekolah ini yang kedua mulai 27 September 1999. Beliau berjaya meningkatkan prestasi sekolah di segi akademik dan lebih menyerlah lagi di bidang kokurikulum sehingga bertukar ke Sekolah Kebangsaan Gambut, Batu Pahat pada 16 November 2002.

Encik Azman bin Jayus seterusnya memimpin sekolah ini mulai 26 Disember 2002 sebagai guru besar yang ketiga. Kehadiran beliau berjaya membawa peningkatan akademik di sekolah ini terutama dalam UPSR 2003 terutama dalam bahasa Inggeris. Perlantikan beliau sebagai Guru besar Sekolah Kebangsaan Setia Jaya Kuala Sedili, Kota Tinggi atas dasar kenaikan pangkat menamatkan perkhidmatan beliau di sekolah ini pada 1 November 2003.

Pada 16 Disember 2003, Encik Ibrahim bin Ahmad diamanahkan sebagi pentadbir Sekolah Kebangsaan Labong. Atas dasar membawa kecemerlangan pendidikan anak-anak Orang Asli dan keceriaan sekolah, beliau menggerakkan guru, kakitangan dan murid mencapai visi dan misi sekolah.

No comments:

Post a Comment