Info Terkini PPD Mersing

October 6, 2009

BERLANGI BIDAN

Berlangi adalah bermaksud mencuci atau membersih yang di gunakan dalam bahasa Orang Asli dari suku kaum Jakun dibeberapa buah perkampungan seperti Kampung Labong, Kampung Denai, Kampung Mentelong, Kampung Tanjung Tuan, Tanah Habang, Kampung Punan dan lain-lain yang terdapat dipersisir Sungai Endau.

Bidan atau Mak Bidan adalah seorang wanita yang berkebolehan untuk menyambut kelahiran bayi dari wanita-wanita yang akan melahirkan anak.

Mengikut amalan tradisi adat kaum ini setiap bayi yang lahir di sambut kelahirannya oleh Mak Bidan, keluarga berkenaan seharusnya melakukan upacara berlangi bidan iaitu mencuci bidan. Tujuan upacara ini di lakukan kerana di katakan Mak Bidan telah di kotori semasa melakukan tugas-tugas menyambut kelahiran bayi sehinggalah tujuh hari beliau menjaga kebajikan si ibu dan bayi tersebut seperti memandikan, mengurut, memasak membasuh pakaian dan lain-lain lagi.

Seelok-eloknya upacara ini di lakukan ketika bayi tersebut masuk ke alam kanak-kanak sekiranya pihak keluarga bayi tersebut cukup kemampuan mereka dari segi mengadakan alat-alat dan jamuan untuk jemputan mereka. Dan jika belum berkemampuan lagi ianya bolehlah diadakan sehingga beliau masuk ke alam remaja. Sekiranya pihak keluarga ingin melakukannya, mereka akan berjumpa dengan Mak Bidan untuk menyampaikan hasrat tersebut, Setelah mendapat keizinan dari Mak Bidan, keluarga tersebut akan memberitahu ketua kampong iaitu Tok Batin tentang hal tersebut. Seterusnya Tok Batin mengarahkan beliau dan ahli keluarganya memberitahu orang kampung mengenai perkara tersebut, malahan menyampaikan juga kepada penduduk-penduduk dari kampung lain yang ada anak-anak mereka lahir disambut oleh Mak Bidan berkenaan sekiranya ingin untuk turut menyertai dalam upacara ini nanti. Ini adalah sebagai mengenang budi dan jasa kepada Mak Bidan tersebut.

Untuk mengadakan upacara ini pihak keluarga kanak-kanak yang ingin menyempurnakan majlis tersebut hendaklah menyediakan barang-barang sebagai hadiah kepada Mak Bidan seperti sepasang pakaian baju kurung putih, kain pelikat, pinggan, mangkuk, benang, jarum, sikat, minyak rambut, gunting, pisau lipat dan sedikit wang jika ada. Manakala untuk membuat jamuan pihak keluarga berkenaan akan dibantu oleh penduduk kampong dengan membuat kutipan derma berupa wang atau pun barang makanan.

Semasa upacara dijalankan semua kaum ibu dan kanak-kanak yang telah disambut oleh Mak Bidan berkenaan mengiring dan membawa Mak Bidan menuju kesungai. Mereka akan melangi Mak Bidan tadi beramai-ramai dengan air tepung tawar dan sabun. Setelah siap sekali lagi Mak Bidan diiringi dengan berbumbungkan kain putih yang dipegang beramai-ramai balik kerumahnya. Setelah tiba dirumah Mak Bidan di siapkan dengan memakai pakaian yang dihadiahkan iaitu baju kurang putih dan kain pelikat seterunya beliau disapu minyak rambut dan disikat oleh kaum-kaum ibu.

Upacara berikutnya adalah mengadakan jamuan berupa nasi putih, nasi pulut putih dan kuning, ayam gulai lemak serta ayam yang dipanggang. Si kanak-kanak berkaitan akan makan bersama-sama dengan Mak Bidan dalam satu dulang disamping itu orang ramai dijemput bersama-sama nenikmati jamuan dalam majlis tersebut.

Pada sebelah malamnya pula akan diadakan majlis joget lambak dimana kanak-kanak yang berkaitan dengan upacara ini berjoget berpasangan dengan Mak Bidan sekurang-kurangnya satu lagu dengan diikuti oleh yang lain-lain. Ini bertujuan menghibur dan menggembirakan serta meraikan Mak Bidan.

Dengan selesainya upacara dan majlis ini maka adalah di anggap kanak-kanak dan keluarga berkenaan telah menyempurnakan tuntutan adat dalam masyarakat ini iaitu mencuci atau melangi bidan. Dan sekiranya dilain kali jika mereka memerlukan perkhidmatan Mak Bidan dalam hal-hal untuk melahirkan anak, mereka tidak rasa segan untuk meminta pertolongan dari beliau.

Oleh :

KAMU BIN SUMBA
Kampung Labong,Endau.
JOHOR.

No comments:

Post a Comment