Info Terkini PPD Mersing

September 30, 2009

Kelas Dewasa Asli Penan (KEDAP) Di SK Labong


Masyarakat orang Asli dan Penan masih ketinggalan dalam penguasaan 3M. Menyedari hakikat ini, Kementerian Pelajaran Malaysia telah melancarkan program Kelas Dewasa Asli dan Penan di SK Pengkalan Tereh, Kluang oleh YB Datuk Seri Hishamuddin bin Tun Hussein, Menteri Pelajaran Malaysia. Tujuan utama pelaksanaan KEDAP adalah bagi meningkatkan penguasaan ilmu dalam kalangan masyarakat Orang Asli dan Penan. Ibu bapa yang telah menguasai 3M diharapkan dapat membantu pembelajaran anak-anak mereka di rumah.


Empat orang guru telah menghadiri kursus yang disediakan dan seterusnya ditugaskan untuk mengajar kelas KEDAP ini. Guru - guru tersebut ialah En. Kamu Bin Sumba, En. Abd. Rahman Bin Abu @ Naim, Puan Sanisah Bte Shafie & Cik Mahbubiah Bte Abd Manaf. Kelas Dewasa Kampung Labong mula di laksanakan pada 17 Mac 2008. Kelas mula dijalankan pada jam 6.00 petang hingga 8.00 malam dan diadakan seminggu 3 kali pada hari Isnin, Selasa dan Rabu. Mata Pelajaran yang diajar ialah Bahasa Malaysia dan Matematik.


Peringkat pertama pengajaran dan pembelajaran di ajar secara keseluruhan kepada peserta. Setelah 3 bulan dijalankan,peserta dibahagikan kepada 2 kumpulan iaitu kumpulan yang lemah/lambat 10 orang dan kumpulan yang agak cepat 15 orang. Pencapaian kumpulan yang cepat sehingga tamat kelas dewasa sudah boleh membaca / mengeja hingga sukukata kvk+kvkk, boleh membaca ayat dan teks yang mudah dengan memuaskan, boleh membilang dan mengenal nombor hingga 100 dengan baik, boleh menyelesaikan operasi tambah dengan tidak mengumpul semula dan mengumpulsemula, boleh menyelesaikan operasi tolak hanya dengan tidak mengumpul semula, dengan mengumpul semula belum menguasai kemahirannya.
Pencapaian kumpulan yang lambat/lemah hanya boleh membaca/mengeja sukukata kv+kvk dan membaca ayat-ayat pendek sahaja, boleh mengenal dan membilang nombor hingga 100, boleh menyelesaikan operasi tambah dan tolak dengan tidak mengumpul semula.

Kehadiran harian peserta adalah sangat menggalakan kecuali jika ada hal-hal tertentu yang menyebabkan mereka tidak dapat hadir. Sungguhpun begitu terdapat dua atau tiga orang yang agak kerap tidak hadir.

Keseluruhannya para peserta adalah sangat seronok dan ceria untuk hadir ke kelas dewasa dan belajar dengan seberapa yang termampu mereka lakukan.

Kehadiran guru-guru dalam melaksanakan P&P Kelas Dewasa sentiasa menepati jadual yang ditetapkan. Sekiranya salah seorang guru ada urusan, tugas P&P akan diganti dengan guru lain dengan bahan-bahan P&P nya yang telah disediakan.


Disediakan oleh :

En. Kamu bin Sumba

Setiausaha KEDAP

SK Labong

September 28, 2009

Murid SK Labong Mengharumkan Negeri Johor


Mungkin ramai yang tidak tahu bahawa murid - murid SK Labong aktif dalam pelbagai bidang. Tanpa disedari murid - murid ini telah berjaya mengharumkan nama sekolah, daerah Mersing dan juga negeri Johor melalui aktiviti yang disertai. Salah satu darinya ialah melalui penyertaan murid di dalam Karnival Sukan Sekolah Murid Orang Asli pada tahun 2008.

Seramai 3 orang murid lelaki dan 3 orang murid perempuan SK Labong telah berkampung di Pusat Sukan MSSK, Kompleks Sekolah - Sekolah Kota Bharu bersama - sama dengan murid SK Asli dari seluruh Malaysia. Karnival yang bermula dari 5 - 8 November ini bertujuan untuk mencungkil bakat murid - murid SK Asli di dalam bidang sukan khususnya dan memberi peluang kepada mereka untuk beramah mesra dengan rakan - rakan dari negeri lain amnya.

Di dalam karnival tersebut kontijen Johor telah berjaya memperolehi 2 pingat emas dan 1 pingat perak. Yang paling menggembirakan warga sekolah SK Labong pingat emas tersebut telah disumbangkan oleh 2 orang wakil dari SK Labong sendiri melalui acara lontar peluru dan lompat jauh. Adik Farisya dan juga adik Liana merupakan permata SK Labong yang selama ini amat dinantikan.

Apa yang diharapkan adalah peluang yang sama dapat diberikan oleh pihak PPD di dalam membantu membawa murid - murid asli ini untuk sama - sama maju di dalam bidang sukan. Pencapaian ini sedikit sebanyak telah merealisasikan semangat " Labong Hebat " yang disuarakan oleh pihak pentadbir sekolah.

September 27, 2009

Sejarah SK Labong


Kampung Labong dihuni oleh 15 keluarga yang asalnya menetap di Kampung Denai dan kampung Sungai Mook, Kuala Rompin , Pahang sejak tahun 1950. Mereka terdiri suku Bangsa Jakun (Orang Ulu) iaitu salah satu suku Melayu Asli ( Melayu Proto ) yang berasal dari Yunan ( Selatan Negeri Cina ) yang berhijrah ke Tanah Melayu sejak 5 000 tahun dahulu.

Sekolah Kebangsaan Labong diwujudkan oleh Jabatan Hal Ehwal Orang Asli pada 1955. Ketika itu sekolah ini diasaskan sebagai sekolah rakyat. Pengasasnya ialah Encik Iman bin Mahaja, seorang anak tempatan. Beliau mendapat pendidikan secara tidak formal ketika dalam tahanan Kerajaan British kerana menyokong perjuangan menuntut kemerdekaan. Bangunan sekolah ketika itu adalah bangunan sementara yang dibina menggunakan kayu-kayan hutan secara gotong-royong oleh penduduk tempatan. Jabatan Hal Ehwal Orang Asli turut membantu dengan memberi elaun kepada Encik Iman bin Mahaja sehingga beliau berhenti untuk bekerja sendiri. Objektif utama penubuhannya adalah untuk membasmi buta huruf di kalangan anak-anak Orang Asli. Kebanyakan murid yang belajar di sini tinggal di kawasan penempatan Kampung Labong dan perkampungan orang Asli di seberang Sungai Endau di negeri Pahang. Perkampungan orang Asli di negeri Pahang yang terlibat adalah Kampung Denai dan Mentelong. Murid Kampung Mentelong menaiki bot mengambil masa 1 jam 30 minit dan masa perjalanan murid Kampung Denai pula cuma 30 minit.

Selepas merdeka, Kementerian Pelajaran membantu sekolah ini di segi tenaga pengajar dan pentadbirannya, Jabatan Hal Ehwal Orang Asli masih membantu di segi bantuan lain kepada murid-murid. Pada tahun 1965, sebuah bangunan sekolah yang kekal dibina bagi menggantikan bangunan yang dibina secara gotong-royong. Ketika itu murid Tahun Satu hingga Tahun 4 belajar di Sekolah Kebangsaan Labong manakala murid Tahun Lima dan Tahun Enam belajar di Sekolah Kebangsaan Pusat Air Tawar, Endau. Pentadbiran Sekolah Kebangsaan Labong juga diletakkan di bawah Kementerian Pelajaran dan Guru Besar Sekolah Kebangsaan Pusat Air Tawar bertanggungjawab mengawasinya. Seorang guru dilantik sebagai penyelia sekolah bagi membantu guru besar mentadbir sekolah di Sekolah Kebangsaan Labong. Pada tahun 1986, sebuah lagi bangunan tambahan dibina bagi menempatkan murid Tahun Lima dan tahun Enam. Kelas-kelas di sekolah ini ketika itu merupakan kelas bercantum.

Pada 1 Januari 1998, Seorang guru besar dilantik meneraju sekolah ini selepas sekian lama diletakkan di bawah pentadbiran Guru Besar Sekolah Kebangsaan Pusat Air Tawar. Encik Hamzah bin Mohamed diberi tanggungjawab mengurus Sekolah Kebangsaan Labong sebagai guru besar yang pertama. Beliau berusaha meningkatkan pencapaian murid sekolah ini di bidang akademik dan kokurikulum sehingga bersara pada 24 September 1999.

Jabatan Pendidikan Johor melantik Encik Abdullah bin Haji Mohamad sebagi guru besar sekolah ini yang kedua mulai 27 September 1999. Beliau berjaya meningkatkan prestasi sekolah di segi akademik dan lebih menyerlah lagi di bidang kokurikulum sehingga bertukar ke Sekolah Kebangsaan Gambut, Batu Pahat pada 16 November 2002.

Encik Azman bin Jayus seterusnya memimpin sekolah ini mulai 26 Disember 2002 sebagai guru besar yang ketiga. Kehadiran beliau berjaya membawa peningkatan akademik di sekolah ini terutama dalam UPSR 2003 terutama dalam bahasa Inggeris. Perlantikan beliau sebagai Guru besar Sekolah Kebangsaan Setia Jaya Kuala Sedili, Kota Tinggi atas dasar kenaikan pangkat menamatkan perkhidmatan beliau di sekolah ini pada 1 November 2003.

Pada 16 Disember 2003, Encik Ibrahim bin Ahmad diamanahkan sebagi pentadbir Sekolah Kebangsaan Labong. Atas dasar membawa kecemerlangan pendidikan anak-anak Orang Asli dan keceriaan sekolah, beliau menggerakkan guru, kakitangan dan murid mencapai visi dan misi sekolah.

September 18, 2009

Semoga Berjaya........


Peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah ( UPSR ) bagi tahun 2009 telah berjalan dengan jayanya bermula dari 8 - 10 September yang lepas. 6 orang calon UPSR SK Labong telah selamat menjalani peperiksaan tersebut berbekalkan tekad dan semangat untuk menjadi pemecah tradisi murid sekolah asli pertama yang akan mencatat 5A didalam peperiksaan tersebut. Bagi warga sekolah keputusan yang diharapkan adalah 5A ( seorang ) dan 4C ( 5 orang ). Harapan disandarkan ke atas bahu adik Saiful Iskandar Bin Kamu yang merupakan satu - satunya calon yang berjaya mencatat keputusan cemerlang setiap kali peperiksaan dijalankan. Beliau juga merupakan seorang pelajar yang aktif di sekolah dengan menyertai pelbagai aktiviti kurikulum dan ko-kurikulum dan menjadi ketua pelajar untuk 2 tahun berturut - turut. Beliau telah mengharumkan nama sekolah dan juga Negeri Johor dengan memenangi pingat perak di dalam acara lontar peluru di dalam Kejohanan Sukan Sekolah - Sekolah Asli 2008. Warga sekolah dan para ibu bapa sentiasa mendoakan kejayaan murid - murid SK Labong agar cemerlang di dalam peperiksaan dan merealisasikan impian " Labong Hebat ".