Info Terkini PPD Mersing

October 25, 2009

LATIHAN DALAM PERKHIDMATAN ( LDP ) 2009 SIRI 6/20


6 buah sekolah dari Zon Endau telah menamatkan Kursus Latihan Dalam Perkhidmatan ( LDP ) bagi tahun 2009 dengan jayanya. Pada Sabtu 24 Oktober 2009 yang lalu, guru - guru dari SK Labong, SK Lembaga, SJKC KG Hubong, SK Peta, SK Tanjung Resang & SK Penyabong telah berkumpul di SK Labong untuk menghadiri kursus LDP siri ke 6 iaitu siri terakhir bagi tahun 2009. Kursus LDP bagi siri ke 6 ini merupakan tambahan bagi 4 kursus LDP yang telah dijalankan sebelum ini.
Kursus tersebut telah berjalan dengan jayanya dan kehadiran guru - guru dari semua sekolah amat menggalakkan. SK Labong selaku tuan rumah bagi slot terakhir ini amat berpuas hati dengan perjalanan majlis yang telah berlangsung tanpa sebarang masalah. Pihak majlis dengan sukacitanya telah menjemput seorang penceramah dari Jabatan Pelajaran Negeri Johor bagi membuat perkongsian pintar bersama - sama dengan guru - guru Zon Endau ini.
Encik Mohd Kamal Bin Ahmad Untung, Penolong Pengarah Bahagian Aduan & Parlimen di Jabatan Pelajaran Negeri Johor telah sudi meluangkan masa untuk menyampaikan ceramah yang bertajuk " Etika Perkhidmatan Awam Menjana Kecemerlangan". Kepakaran beliau dalam bidang kaunseling telah membuatkan semua guru mendengar dengan penuh minat akan maklumat yang telah disampaikan.
Apa yang diharapkan adalah guru - guru dapat mengaplikasikan segala ilmu dan kemahiran yang diperolehi sepanjang Kursus LDP dijalankan di dalam bidang masing - masing. Di kesempatan ini juga warga kerja SK Labong memohon maaf di atas segala kekurangan yang ada sewaktu menjadi tuan rumah bagi kursus LDP untuk slot yang ke 3 dan ke 4. Segala silap dan salah harap ditunjukkan.









October 19, 2009

TAHNIAH SK PUSAT AIR TAWAR, SK LABONG & SJKC KG HUBONG

Permainan Tradisional Yang Dipertandingkan.

chap te

Congkak & Batu Seremban
teng - teng

Galah Panjang

October 18, 2009

PROGRAM RIMUP DI SK PUSAT AIR TAWAR MERSING



Gagasan 1Malaysia yang dicanangkan oleh YAB Perdana Menteri kita merupakan satu agenda besar yang perlu didokong oleh setiap warganegara Malaysia. Perlaksanaannya boleh dibuat melalui pelbagai program di setiap lapisan masyarakat termasuklah di institusi pendidikan samada tinggi atau rendah. Sehubungan dengan itu, satu program dibawah Kementerian Pelajaran turut dilaksanakan di sekolah - sekolah Daerah Mersing. Program yang dikenali sebagai Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan ( RIMUP ) ini telah berjalan sejak beberapa tahun yang lalu.

3 buah sekolah di dalam Zon Endau turut tidak ketinggalan bersama - sama menjayakan gagasan 1Malaysia ini dengan menganjurkan Program RIMUP melalui Pertandingan Permainan Tradisional. Pertandingan ini telah diadakan di Sekolah Kebangsaan Pusat Air Tawar selaku tuan rumah pada hari Khamis 15 Oktober 2009 yang lalu. Manakala 2 buah sekolah lagi yang turut menyertai pertandingan ini pula ialah Sekolah Kebangsaan Labong dan Sekolah Jenis Kebangsaan Kg Hubong.

Seramai 20 orang murid SK Labong telah dihantar untuk mewakili sekolah di dalam pertandingan tersebut yang terdiri daripada murid - murid Tahun 4, 5 dan 6. Murid - murid ini telah menyertai pelbagai pertandingan yang dianjurkan oleh pihak tuan rumah. Sesuai dengan konsep permainan tradisional, acara yang di pertandingkan adalah seperti galah panjang, teng - teng, congkak, batu seremban dan chap te. Kesemua acara tersebut telah berjalan dengan lancar dan menepati konsep 1Malaysia di mana murid - murid gembira menjayakan pertandingan ini.

Bagi meneruskan agenda berikutnya, dijangkakan 1 lagi program RIMUP akan dijalankan dalam masa terdekat. SK Labong akan menjadi tuan rumah yang seterusnya dan akan mengadakan 1 pertandingan yang tidak kurang hebatnya iaitu pertandingan Tarian Tradisional. Apa yang diharapkan adalah komitmen dan kerjasama semua pihak bagi memastikan kejayaan program ini dan seterusnya merealisasikan impian " Labong Hebat ".

October 12, 2009

WARGA KERJA SK LABONG - Guru & Staff

Berdiri dari kiri : Zulfarizan, Nur Azirawaty, Nooranirah, Siti Hazira, Saniah, Katijah, Mabubiah, Sanisah, Rizal
Duduk dari kiri : Anuwar, Kamu, Ibrahim, Abd Rahman, Herman




Nama : Ibrahim Bin Ahmad
Jawatan : Guru Besar
Gred : DGA32

Nama : Kamu Bin Sumba
Jawatan : GPK ( Pentadbiran & Kurikulum )
Gred : DGA32

Nama : Abd Rahman Bin Abu Naim
Jawatan : GPK ( Hal Ehwal Murid ) / Guru Tahun 6
Gred : DGA32

Nama : Anuwar Bin Sharif
Jawatan : GPK ( Ko - Kurikulum ) / Guru Tahun 4
Gred : DGA32

Nama : Katijah Bte Mohd Som
Jawatan : Guru Penolong / Guru Tahun 1
Gred : DGA32

Nama : Mohd Herman Bin Abd Aziz
Jawatan : Guru Penolong
Gred : DG41

Nama : Zulfarizan Bin Sulaiman
Jawatan : Guru Penolong / Guru Data
Gred : DGA29

Nama : Nooranirah Bte Abd Rahman
Jawatan : Guru Penolong / Guru Tahun 2 & 3
Gred : DG41

Nama : Mabubiah Bte Abd Manaf
Jawatan : Guru Pemulihan
Gred : DG41

Nama : Siti Hazira Bte Yusof
Jawatan : Guru Penolong / Guru Tahun 5
Gred : DG41

Nama : Sanisah Bte Shafie @ Musa
Jawatan : Guru Pra Sekolah
Gred : DGA32

Nama : Saniah Bte Daud
Jawatan : Pembantu Tadbir (Perkeranian & Operasi )
Gred : N17S

Nama : Mohd Rizal Bin Abu Bakar
Jawatan : Pembantu Am Rendah
Gred : N1S

Nama : Abu Bakar Bin Mansor
Jawatan :
Gred : R1S

Nur Azirawaty Bte Arifin
Jawatan : Pembantu Pengurusan Murid
Gred : N17P

October 6, 2009

BORIA SK LABONG - NAIB JOHAN LAGI




Penyertaan Kumpulan Boria SK Labong untuk kali ke 4 di dalam Pertandingan Boria Anti Dadah Karnival Pendidikan Mersing telah mencatat sejarah berganda kerana kumpulan ini telah memenangi tempat naib johan bagi 2 tahun berturut - turut. Apa yang cukup membanggakan ialah untuk penyertaan kali ke 4 ini, kumpulan boria ini disertai oleh murid - murid perempuan berbanding dengan pasukan boria tahun lepas yang disertai oleh murid -murid lelaki dari Tahun 4, 5 dan 6.

Pertandingan Boria Anti Dadah sempena Karnival Pendidikan Mersing ini telah berlangsung di SMK Anjung Batu pada 30 April yang lalu. Seramai 15 orang murid perempuan dari Tahun 4 dan 5 yang menyertai kumpulan boria SK Labong ini telah mendapat latihan intensif selama 2 minggu. Pihak sekolah masih lagi mengekalkan Pn. Katijah sebagai guru pembimbing pada tahun ini tetapi seorang guru SK labong yang berasal dari utara Malaysia iaitu Pn. Nooranirah telah turut membantu memberikan khidmat bimbingan. Selepas beberapa ujibakat diadakan pihak pengurusan membuat keputusan untuk melantik adik Almirana Alang sebagai penyanyi solo kumpulan ini.

Sasaran sebenar guru pembimbing untuk mendapat johan tidak kesampaian kerana kumpulan boria tahun ini masih lagi mengulangi pencapaian tahun lalu. Walaubagaimanapun warga sekolah tetap berasa bangga dengan pencapaian ini kerana rasanya bukan mudah untuk melatih murid - murid dari sekolah asli membuat persembahan boria yang amat terkenal di utara Malaysia.

Penyertaan SK Labong dalam pertandingan ini juga menyahut cabaran guru besar untuk mendedahkan kepada umum bahawa murid - murid dari sekolah asli juga berupaya untuk melangkah lebih jauh bukan sahaja di dalam kurikulum malah ko - kurikulum juga. Tahniah diucapkan. " Labong Hebat ".

BERLANGI BIDAN

Berlangi adalah bermaksud mencuci atau membersih yang di gunakan dalam bahasa Orang Asli dari suku kaum Jakun dibeberapa buah perkampungan seperti Kampung Labong, Kampung Denai, Kampung Mentelong, Kampung Tanjung Tuan, Tanah Habang, Kampung Punan dan lain-lain yang terdapat dipersisir Sungai Endau.

Bidan atau Mak Bidan adalah seorang wanita yang berkebolehan untuk menyambut kelahiran bayi dari wanita-wanita yang akan melahirkan anak.

Mengikut amalan tradisi adat kaum ini setiap bayi yang lahir di sambut kelahirannya oleh Mak Bidan, keluarga berkenaan seharusnya melakukan upacara berlangi bidan iaitu mencuci bidan. Tujuan upacara ini di lakukan kerana di katakan Mak Bidan telah di kotori semasa melakukan tugas-tugas menyambut kelahiran bayi sehinggalah tujuh hari beliau menjaga kebajikan si ibu dan bayi tersebut seperti memandikan, mengurut, memasak membasuh pakaian dan lain-lain lagi.

Seelok-eloknya upacara ini di lakukan ketika bayi tersebut masuk ke alam kanak-kanak sekiranya pihak keluarga bayi tersebut cukup kemampuan mereka dari segi mengadakan alat-alat dan jamuan untuk jemputan mereka. Dan jika belum berkemampuan lagi ianya bolehlah diadakan sehingga beliau masuk ke alam remaja. Sekiranya pihak keluarga ingin melakukannya, mereka akan berjumpa dengan Mak Bidan untuk menyampaikan hasrat tersebut, Setelah mendapat keizinan dari Mak Bidan, keluarga tersebut akan memberitahu ketua kampong iaitu Tok Batin tentang hal tersebut. Seterusnya Tok Batin mengarahkan beliau dan ahli keluarganya memberitahu orang kampung mengenai perkara tersebut, malahan menyampaikan juga kepada penduduk-penduduk dari kampung lain yang ada anak-anak mereka lahir disambut oleh Mak Bidan berkenaan sekiranya ingin untuk turut menyertai dalam upacara ini nanti. Ini adalah sebagai mengenang budi dan jasa kepada Mak Bidan tersebut.

Untuk mengadakan upacara ini pihak keluarga kanak-kanak yang ingin menyempurnakan majlis tersebut hendaklah menyediakan barang-barang sebagai hadiah kepada Mak Bidan seperti sepasang pakaian baju kurung putih, kain pelikat, pinggan, mangkuk, benang, jarum, sikat, minyak rambut, gunting, pisau lipat dan sedikit wang jika ada. Manakala untuk membuat jamuan pihak keluarga berkenaan akan dibantu oleh penduduk kampong dengan membuat kutipan derma berupa wang atau pun barang makanan.

Semasa upacara dijalankan semua kaum ibu dan kanak-kanak yang telah disambut oleh Mak Bidan berkenaan mengiring dan membawa Mak Bidan menuju kesungai. Mereka akan melangi Mak Bidan tadi beramai-ramai dengan air tepung tawar dan sabun. Setelah siap sekali lagi Mak Bidan diiringi dengan berbumbungkan kain putih yang dipegang beramai-ramai balik kerumahnya. Setelah tiba dirumah Mak Bidan di siapkan dengan memakai pakaian yang dihadiahkan iaitu baju kurang putih dan kain pelikat seterunya beliau disapu minyak rambut dan disikat oleh kaum-kaum ibu.

Upacara berikutnya adalah mengadakan jamuan berupa nasi putih, nasi pulut putih dan kuning, ayam gulai lemak serta ayam yang dipanggang. Si kanak-kanak berkaitan akan makan bersama-sama dengan Mak Bidan dalam satu dulang disamping itu orang ramai dijemput bersama-sama nenikmati jamuan dalam majlis tersebut.

Pada sebelah malamnya pula akan diadakan majlis joget lambak dimana kanak-kanak yang berkaitan dengan upacara ini berjoget berpasangan dengan Mak Bidan sekurang-kurangnya satu lagu dengan diikuti oleh yang lain-lain. Ini bertujuan menghibur dan menggembirakan serta meraikan Mak Bidan.

Dengan selesainya upacara dan majlis ini maka adalah di anggap kanak-kanak dan keluarga berkenaan telah menyempurnakan tuntutan adat dalam masyarakat ini iaitu mencuci atau melangi bidan. Dan sekiranya dilain kali jika mereka memerlukan perkhidmatan Mak Bidan dalam hal-hal untuk melahirkan anak, mereka tidak rasa segan untuk meminta pertolongan dari beliau.

Oleh :

KAMU BIN SUMBA
Kampung Labong,Endau.
JOHOR.

October 4, 2009

GURU DARI 6 BUAH SEKOLAH BERKAMPUNG DI SK PENYABONG

Pada 3 Oktober 2009 yang lalu, guru - guru dari 6 buah sekolah di zon Endau telah berkumpul di SK Penyabong bagi mengikuti Kursus Dalam Perkhidmatan Berasaskan Sekolah bagi siri ke 5/2009. Kursus ini telah berjalan dengan lancar dengan kehadiran guru yang memberangsangkan bagi setiap sekolah. Sekolah yang turut serta ialah SK Penyabong selaku tuan rumah, SK Labong, SK Tanjung Resang, SK Lembaga, SK Kg. Hubong dan SK Peta.

Penceramah jemputan dari SK Tanjung Gemok En. Roslan Bin Nik Mat telah hadir bagi memberikan ceramah yang bertajuk " Pemulihan Dalam Bilik Darjah Memantapkan Proses P&P ". Beliau yang memegang jawatan GPK Kokurikulum telah menerima anugerah " Guru Inovatif " pada tahun 2005. Banyak input dan maklumat yang telah dikongsikan bersama dan antaranya ialah hasil kajian beliau yang telah beliau jalankan sejak dari tahun 1996 dalam bidang pemulihan.

Kursus ini dijalankan lanjutan dari penambahan kursus LDP sebanyak 2 kali sebelum sesi persekolahan 2009 berakhir. 1 lagi kursus akan dijalankan dalam masa 2 minggu lagi dan dijangkakan SK Labong akan menjadi tuan rumah.

TAHNIAH CIKGU KAMU....

Warga SK Labong mengucapkan tahniah kepada Cikgu Kamu kerana terpilih melalui pencalonan oleh Jabatan Pelajaran Negeri untuk mengikuti Kursus KDP 4 Minggu Latihan Peningkatan Pedagogi Guru Sekolah Orang Asli untuk ambilan 2009. Beliau yang merupakan guru ' senior ' di SK Labong akan melaporkan diri di Institut Perguruan kampus Tengku Ampuan Afzan pada 5 Oktober 2009 ini.

Beliau akan mengikuti kursus tersebut selama 4 minggu bersama - sama dengan 2 orang guru lain iaitu En. Halim dari SK Tanah Abang dan Cik Salina dari SK Peta. Kursus yang ditawarkan hanya kepada guru - guru sk asli ini mengkhusus kepada bidang Bahasa Melayu.

Kesediaan Cikgu Kamu untuk mengikuti kursus ini walaupun terpaksa berjauhan dengan keluarga selama 1 bulan seharusnya dicontohi oleh guru - guru muda. Ini adalah bertujuan untuk meningkatkan lagi pengetahuan dan kemahiran guru dalam bidang tugas masing - masing. Apa yang diharapkan adalah semoga Cikgu Kamu diberikan kesihatan yang baik dan selamat dalam mengikuti kursus tersebut.

Sekali lagi tahniah Cikgu Kamu......Labong Hebat....

October 1, 2009

Ring Ria Hari Raya Di SK Labong

Bulan Syawal telah melewati hari ke 13. Namun kemeriahan aidilfitri masih lagi hangat dengan acara rumah terbuka di sana sini. Di SK Labong, warga sekolah tidak ketinggalan turut meraikan suasana " demam raya " ini walaupun hampir 98% muridnya bukan beragama Islam.

Sesuai dengan konsep 1Malaysia yang diwar - warkan oleh Perdana Menteri, pihak pentadbir sekolah yang diterajui oleh guru besar En. Ibrahim Bin Ahmad turut menerapkan konsep 1Malaysia di kalangan murid - murid dimana satu sambutan hari raya turut dianjurkan di sekolah ini. Sambutan hari raya ini telah diadakan pada hari Khamis 01 Oktober 2009 dengan berkonsepkan ' rumah terbuka '.

Sehari sebelum sambutan tersebut warga guru dan staff telah bergotong royong menganyam ketupat dan memotong daging untuk dibuat rendang. Salah seorang guru, En. Abd Rahman turut menyediakan kuah lodeh. Tidak lupa kuih - muih yang telah dibawa oleh guru - guru.

Pihak sekolah juga turut menjemput Batin Kg Labong En. Mabot Bin Sela bagi memeriahkan lagi sambutan ini. Dalam masa yang sama satu upacara penyerahan cek pampasan kepada beberapa penduduk kampung turut diadakan. Cek pampasan ini diberikan bagi menggantikan kehilangan tanaman yang dialami oleh penduduk kampung tersebut bagi membolehkan pembinaan bangunan sekolah yang baru. Guru besar juga turut menjemput kontraktor pembinaan yang bekerja di tapak pembinaan tersebut.

Acara yang diadakan setiap tahun ini sentiasa meriah dengan kerjasama semua pihak. Ini bagi memastikan golongan muda tidak melupakan kemeriahan hari raya yang disambut setahun sekali.