Info Terkini PPD Mersing

November 27, 2009

Selamat Bercuti & Selamat Hari Raya Aidiladha....

Warga SK Labong mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat bercuti kepada para pelajar dan warga pendidik yang melawat laman blog ini. Tidak lupa juga Selamat Hari Raya Aidiladha diucapkan kepada semua umat Islam. Semoga di hari yang berbahagia ini segala kebahagiaan, kekayaan, kejayaan dan pengorbanan yang dikecapi selama ini akan berkekakalan untuk tahun - tahun mendatang.

November 19, 2009

UPSR 2009 - SK Labong Hebat

CORETAN DARI PPD MERSING......

Assalamu a'laikum wrth & Salam Mahabbah


Sukacitanya dimaklumkan bahawa, laungan MEMAHAT SEJARAH MENCIPTA TAMADUN telah menjadi realiti.
Hari ini... Mersing telah melakar sejarahnya yang tersendiri, dengan acuan dan keringat rakan-rakan guru, pegawai-pegawai di PPD, sokongan PIBG, JKD, MGK, MGC, usaha yang berterusan ANAK-ANAK PERMATA MERSING dan individu yang terlibat secara langsung atau tidak langsung telah membuahkan hasil serta memberi impak yang positif dalam keputusan UPSR 2009 yang baru diumumkan tadi.

Mersing telah mempamerkan LONJAKAN TERTINGGI PERATUS MENGUASAI BERBANDING TAHUN 2008. ( 62.32% - 69.41%) Peningkatan sebanyak 7.09 %. Sekaligus telah meletakkan Mersing di TEMPAT KE 7 berbanding daerah-daerah Negeri Johor. Peningkatan Gred Purata Sekolah daripada 2.32 (2008) kepada 2.24 (2009) . Peningkatan Peratus Cemerlang daripada 5.71 (91 orang) kepada 8.80 % (139 orang)

ANUGERAH UPSR 2009

1. ANUGERAH PEJABAT PELAJARAN DAERAH CEMERLANG KATEGORI ANJAKAN SAUJANA (% LULUS, % CEMERLANG & GPS) - sijil.pdf

2. ANUGERAH KHAS PENCAPAIAN PPD PALING MENCAPAI ETR UPSR 2009 - sijil.pdf

3. ANUGERAH PELAJAR CEMERLANG KATEGORI CALON ORANG ASLI - SAIFUL ISKANDAR BIN KAMU : SK LABONG, MERSING (5A).

Kami warga PPD Mersing dengan penuh rasa tawaddu' merakamkan ucapan TAHNIAH dan SYABAS kepada seluruh warga pendidikan Mersing yang sentiasa memberi sumbangan idea, tenaga dan usaha bagi menngkatkan prestasi akademik daerah Mersing.

Semangat kerjasama dan roh MERSING HEBAT memecah belenggu ...

Sesungguhnya TIADA HAD LAJU DALAM PERJALANAN MENUJU KEUNGGULAN.

Teruskan usaha..

SALAM MERSING HEBAT UNTUK SEMUA WARGA PENDIDIKAN MERSING terutama PERMATA KAMI....ANAK-ANAK MERSING.

Wassalam.

UPSR 2009 - SK Labong Cemerlang

Adik Saiful Iskandar Bin Kamu telah menepati ramalan dengan mencapai keputusan 5A di dalam peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah ( UPSR ) 2009 baru - baru ini. Selain itu 2 orang murid lagi turut membantu sekolah menaikkan peratus yang sebelum ini merudum. Adik Rosmidah Bte Murad berjaya memperolehi 3A 1B 1C manakala adik Sahrizad Bin Awang pula berjaya memperolehi 2A 2B 1C. Pihak sekolah mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada 3 orang murid ini.

Untuk maklumat lanjut sila kunjungi laman blog di bawah.

http://mersinghebat.blogspot.com/

November 18, 2009

Kejohanan Renang SK Asli Negeri Johor - SK Labong Menyinar

Satu kejohanan renang bagi semua sekolah asli di negeri Johor telah diadakan di Kolam Renang Stadium Kluang Barat. Kejohanan tersebut telah berlangsung dengan jayanya pada 14 November 2009 yang lalu. Penyertaan terdiri dari sekolah - sekolah asli yang terdapat di negeri Johor.

SK Labong buat pertama kalinya turut menghantar 8 orang peserta yang terdiri dari 4 orang lelaki dan 4 orang perempuan di kalangan murid - murid Tahap 2. Apa yang membanggakan ialah kesemua peserta ini tidak pulang dengan tangan kosong sebaliknya telah berjaya " memancing " beberapa pingat di kolam renang tersebut. Kejayaan ini telah membanggakan pihak sekolah dan membuka mata guru - guru bahawa terdapat " permata " yang perlu digilap walaupun pengalaman mereka bermula di sungai tepi rumah.

SK Labong telah berjaya memperolehi sebutir pingat emas, 2 perak & 3 gangsa yang mana kejayaan ini benar - benar menggembirakan. Sementara itu adik Sahrizad pula telah berjaya mengalahkan Johan Renang MSSJ dan memberikan pingat emas kepada sekolah.

Impian " Labong Hebat " nampaknya semakin membuahkan hasil melalui kejayaan yang diperolehi akhir - akhir ini. Apa yang diharapkan adalah kejayaan yang berkekalan buat SK Labong. Tahniah anak - anak SK Labong.

November 12, 2009

Majlis Hari Kualiti 2009 Pejabat Pelajaran Daerah Mersing - SK Labong Mendapat 2 Anugerah

Tahniah diucapkan kepada warga kerja SK Labong kerana telah berjaya mendapat 2 anugerah di dalam Majlis Hari Kualiti 2009 Pejabat Pelajaran daerah Mersing yang telah diadakan pada 31 Oktober 2009 yang lalu. Terima kasih juga diucapkan kepada panel penilai yang telah memberikan kepercayaan kepada SK Labong untuk menerima anugerah tersebut.

Majlis Hari Kualiti ini telah berlangsung di Dewan Jubli Intan, Mersing dan Tuan Pengarah Pelajaran Johor telah merasmikan majlis tersebut. Pada majlis tersebut SK Labong telah diumumkan sebagai penerima Anugerah Kualiti Pengurusan Kewangan dan juga Anugerah Kualiti Pengurusan Kecemerlangan UPSR bagi kategori sekolah kurang murid ( SKM ).

Anugerah yang diterima ini dianggap sebagai satu penghargaan buat SK Labong dan menjadi inspirasi buat warga kerja untuk menjadikan SK Labong sebuah sekolah yang " Hebat " seperti sekolah - sekolah arus perdana yang lain. " Labong Hebat ".

November 11, 2009

Kelas Dewasa SK Labong Melawat Putrajaya

Hasil dari perancangan yang rapi oleh pihak sekolah, akhirnya peserta kelas dewasa di SK Labong dapat jua melawat Putrajaya dan juga Kuala Lumpur. Program lawatan ini merupakan salah satu insentif yang diberikan kepada para peserta dan juga pendedahan berguna untuk mereka. Peserta kelas dewasa untuk sesi kali ini amat bertuah berbanding dengan peserta sesi lepas kerana dapat pergi melawat Putrajaya dan sekitar Kuala Lumpur. Peserta kelas dewasa sesi sebelum ini hanya dapat melawat sekitar Air Keroh dan Melaka.

Seramai 25 orang peserta kelas dewasa ini telah bertolak ke Putrajaya pada hari Khamis bersama - sama dengan 5 orang guru pengiring. Antara tempat - tempat yang dilawati adalah Masjid Putra dan Masjid Besi di Putrajaya dan juga Menara Berkembar Kuala Lumpur ( KLCC ). Mereka juga turut berpeluang untuk menaiki Sistem Transit Aliran Ringan ( LRT ) menuju ke Pasar Seni.

Tidak lengkap rasanya kalau tiada ole - ole untuk dibawa pulang. Untuk itu rombongan ini telah dibawa ke Nilai 3 untuk melihat & membeli cenderahati yang berkenan di hati. Apa yang pasti rombongan peserta kelas dewasa SK Labong ini pulang dengan penuh kenangan yang tidak akan dilupakan.