Info Terkini PPD Mersing

October 1, 2009

Ring Ria Hari Raya Di SK Labong

Bulan Syawal telah melewati hari ke 13. Namun kemeriahan aidilfitri masih lagi hangat dengan acara rumah terbuka di sana sini. Di SK Labong, warga sekolah tidak ketinggalan turut meraikan suasana " demam raya " ini walaupun hampir 98% muridnya bukan beragama Islam.

Sesuai dengan konsep 1Malaysia yang diwar - warkan oleh Perdana Menteri, pihak pentadbir sekolah yang diterajui oleh guru besar En. Ibrahim Bin Ahmad turut menerapkan konsep 1Malaysia di kalangan murid - murid dimana satu sambutan hari raya turut dianjurkan di sekolah ini. Sambutan hari raya ini telah diadakan pada hari Khamis 01 Oktober 2009 dengan berkonsepkan ' rumah terbuka '.

Sehari sebelum sambutan tersebut warga guru dan staff telah bergotong royong menganyam ketupat dan memotong daging untuk dibuat rendang. Salah seorang guru, En. Abd Rahman turut menyediakan kuah lodeh. Tidak lupa kuih - muih yang telah dibawa oleh guru - guru.

Pihak sekolah juga turut menjemput Batin Kg Labong En. Mabot Bin Sela bagi memeriahkan lagi sambutan ini. Dalam masa yang sama satu upacara penyerahan cek pampasan kepada beberapa penduduk kampung turut diadakan. Cek pampasan ini diberikan bagi menggantikan kehilangan tanaman yang dialami oleh penduduk kampung tersebut bagi membolehkan pembinaan bangunan sekolah yang baru. Guru besar juga turut menjemput kontraktor pembinaan yang bekerja di tapak pembinaan tersebut.

Acara yang diadakan setiap tahun ini sentiasa meriah dengan kerjasama semua pihak. Ini bagi memastikan golongan muda tidak melupakan kemeriahan hari raya yang disambut setahun sekali.

No comments:

Post a Comment