Info Terkini PPD Mersing

September 28, 2009

Murid SK Labong Mengharumkan Negeri Johor


Mungkin ramai yang tidak tahu bahawa murid - murid SK Labong aktif dalam pelbagai bidang. Tanpa disedari murid - murid ini telah berjaya mengharumkan nama sekolah, daerah Mersing dan juga negeri Johor melalui aktiviti yang disertai. Salah satu darinya ialah melalui penyertaan murid di dalam Karnival Sukan Sekolah Murid Orang Asli pada tahun 2008.

Seramai 3 orang murid lelaki dan 3 orang murid perempuan SK Labong telah berkampung di Pusat Sukan MSSK, Kompleks Sekolah - Sekolah Kota Bharu bersama - sama dengan murid SK Asli dari seluruh Malaysia. Karnival yang bermula dari 5 - 8 November ini bertujuan untuk mencungkil bakat murid - murid SK Asli di dalam bidang sukan khususnya dan memberi peluang kepada mereka untuk beramah mesra dengan rakan - rakan dari negeri lain amnya.

Di dalam karnival tersebut kontijen Johor telah berjaya memperolehi 2 pingat emas dan 1 pingat perak. Yang paling menggembirakan warga sekolah SK Labong pingat emas tersebut telah disumbangkan oleh 2 orang wakil dari SK Labong sendiri melalui acara lontar peluru dan lompat jauh. Adik Farisya dan juga adik Liana merupakan permata SK Labong yang selama ini amat dinantikan.

Apa yang diharapkan adalah peluang yang sama dapat diberikan oleh pihak PPD di dalam membantu membawa murid - murid asli ini untuk sama - sama maju di dalam bidang sukan. Pencapaian ini sedikit sebanyak telah merealisasikan semangat " Labong Hebat " yang disuarakan oleh pihak pentadbir sekolah.

No comments:

Post a Comment